Wednesday, November 5, 2008

PUTUS HAID (MENOPAUSE)

PENYAKIT WANITA

PUTUS HAID(MENOPAUSE)


Putus haid atau menopause adalah waktu pertengahan umur seseorang wanita itu di mana dia berhenti mengeluarkan haidnya. Ia terjadi apabila ovari berhenti menghasilkan telur. Selalunya ia terjadi secara perlahan-lahan dalam suatu jangka waktu yang panjang. Namun begitu, ada juga kes dimana ia berlaku secara tiba-tiba dan cepat. Jangka waktu yang diambil untuk mengalami putus haid secara terus dipanggil perimenopause. Ia akan mempengaruhi hormon, tubuh badan dan perasaan. Satu lagi istilah yang diberi kepada jangka waktu yang diambil oleh seorang wanita semasa perubahan dari tahap kesuburan tinggi kepada ketidaksuburan ialah 'climateric'. Semasa perimenopause, pengeluaran estrogen dari ovari semakin berkurangan dan perlahan. Ini menyebabkan paras hormon tidak stabil. Ketakstabilan paras hormon inilah yang menyebabkan beberapa perubahan tertentu dalam wanita yang putus haid. Masa selepas putus haid pula dipanggil postmenopause. Terdapat juga kes dimana terdapatnya 'artificial menopause' iaitu putus haid yang berlaku secara bukan semulajadi. Misalnya di dalam kes pembedahan pembuangan ovari yang rosak ataupun terpaksa dibuang oleh sebab terdapatnya ketumbuhan. Dalam kes seperti ini, putus haid berlaku dengan cepat dan tiba-tiba tanpa melalui proses perimenopause.



MENGAPA BERLAKUNYA PUTUS HAID

Organ yang bertanggungjawab dalam menghasilkan hormon ialah hipotalamus, pituitari dan ovari. Hipotalamus dan pituitari terletak di dalam otak manusia manakala ovari terletak di kedua-dua belah uterus.Keseluruhan sistem ini pula dipanggil sistem endokrin. Hipotalamus akan menyambungkan otak kita dengan sistem endokrin dan akan mengawal kitaran haid dengan bertindak ke atas pituitari.

Sebelum haid bermula, paras rendah estrogen dan progesteron akan memberi isyarat kepada hipotalamus untuk memulakan kitaran semula. Hipotalamus kemudiannya akan menghantar isyarat ke pituitari dan kitaran bermula sekali lagi. Semasa kelahiran seorang bayi perempuan, ovarinya mempunyai lebih kurang 2 juta telur. Apabila dia mula untuk mempunyai haid, terdapat hanya kira-kira 75 ribu yang tinggal. Selepas akil baligh, 8-10 telur membesar setiap bulan. Selalunya salah satu daripadanya akan matang. Kira-kira 10 tahun sebelum menopause
, ovari akan mula ketiadaan telur, kesuburan berkurang, penghasilan estrogen berkurangan dan kitaran haid menjadi tidak normal. Pituitari akan terus merembeskan FSH dan LH dengan harapan untuk mengaruh ovari, jadi paras FSH dan LH meningkat. Apabila menopause semakin hampir, ovulasi berhenti, begitu juga penghasilan progesteron. Semasa sebelum menopause, estrogen akan dihasilkan seperti biasa dan oleh kerana ketiadaan progesteron, penebalan dinding tidak dapat dikawal. Oleh itu, apabila pendarahan berlaku, ia menjadi lebih banyak dan menyebabkan kesakitan. Apabila menopause berlaku, ovari akan berhenti menghasilkan estrogen.



TANDA-TANDA PUTUS HAID

Apabila seorang wanita menghampiri putus haid, kitar haid akan menjadi tidak stabil di mana kadang-kadang ianya terjadi terlalu kerap atau terlalu jarang. Selain itu, terdapat simptom-simptom lain yang akan turut berlaku iaitu:
* Kesakitan sendi
* Susah untuk memfokus mengenai sesuatu perkara
* Sakit kepala
* 'Hot flushes'
* Tidak boleh tidur
* Perubahan mood
* Kekeringan bahagian vagina
* Peluh di waktu malam
* Simptom yang dikaitkan dengan simptom sebelum kedatangan haid
* Perpeluhan yang teruk
* Kencing yang kerap


No comments: